Cari Blog Ini

Selasa, 19 Mac 2013

Kiraan Tarikh PRU13

Banyak orang yang bertanya kenapa Parlimen belum dibubarkan sedangkan tarikh 9 Mac 2013 sudahpun berlalu. Kenapa 9 Mac? Mereka berkata pada tarikh itu usia Parlimen yang ada sekarang cukup lima tahun dan secara automatik Parlimen terbubar. Ini kerana pilihan raya umum ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008. Bukan cam tu...cam gini haa.. Parlimen atau Dewan-Dewan Undangan Negeri akan bubar secara automatik bukan berasaskan tarikh pilihan raya tetapi tarikh mesyuarat pertamanya. Parlimen yang ada sekarang memulakan mesyuarat pertamanya pada 28 April 2008 hingga 29 Mei 2008 dan bermula pada tarikh itulah hayat lima tahun dikira. Ini bermakna jangka hayat Parlimen sekarang berakhir pada 28 April 2013, tetapi memandangkan 28 April hari Ahad cuti maka diganjakkan kepada isnin 29 April 2013 dan menjadikan 30 April 2013 Parlimen terbubar secara automatik. Perkara ini jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Fasal (3) Perkara 55 - Parlimen dibubarkan selepas lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama. Perkara 55 (3) memperuntukkan ...."Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar." Perkara 55 (2) pula menyatakan "Yang Dipertuan Agong boleh memberhenti atau membubarkan Parlimen." Oleh kerana perkara ini belum berlaku tetapi masih boleh berlaku, kita tidak boleh tolak sama sekali yang Parlimen berkemungkinan di bubar sebelum hujung bulan April. Itu pun jika Yang Dipertuan Agong perkenan akan nasihat Perdana Menteri untuk berbuat demikian. Apabila Parlimen dibubarkan, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti menjalankan urusan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu dan selepas itu, Parlimen yang baru dipilih hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran itu. Bermula dari tarikh mesyuarat pertama itulah hayat Parlimen diambil kira, bukan dari tarikh pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan