Cari Blog Ini

Selasa, 24 April 2012

'Mufti Pahang', Tak Bayar Pinjaman Haram Tapi Apa Pula Hukumnya Riba Yang Di Caj PTPTN!


KUANTAN, 24 April - Ramai yang terkejut dengan kenyataan Mufti Pahang Dato' Abdul Rahman Othman (foto) baru-baru ini yang mengatakan haram hukumnya bagi mereka yang tidak membayar pinjaman termasuk pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Beliau berkata demikian selepas menutup Kursus Falak Syarie di Janda Baik, Bentong Katanya, hukum bagi orang yang meminjam sama ada sesama sendiri, bank atau mana-mana institusi adalah wajib membayarnya. “Haram hukumnya mengikut Islam dan telah berlaku kezaliman jika gagal membayar balik wang pinjaman,” katanya. Katanya peminjam wajib membayar balik pinjaman sepertimana terkandung dalam kontrak perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani dan dipersetujui kedua-dua belah pihak. Persoalan ini menyebabkan ramai pihak yang keliru dengan kenyataan Mufti terbabit sebenarnya. Tambahan pula apa yang terkeluar dari mulutnya itu dilihat seperti mengikut skrip semata-mata. Jika benar hukum tidak membayat PTPTN itu haram, maka ramai yang mempersoalkan apakah pula hukumnya PTPTN itu sendiri mengenakan "interest" atau "bunga" kepada para peminjam. Bukankah itu adalah "Riba" dan haram hukumnya di sisi Islam. Kenapa Mufti Pahang tidak pula mengulas isu berkenaan dan hanya berselera untuk menghukum mereka yang tidak membayar semata-mata, sedangkan dia sendiri tahu duit PTPTN yang dikutip itu juga haram kerana mempunyai unsur riba yang nyata. Justeru, usahlah Mufti Pahang cuba untuk mencari publisiti murahan untuk membela PTPTN dalam hal ini. Sepatutnya sebagai Mufti beliau harus berani menegur "akarnya" terlebih dahulu sebelum "pucuk". Oleh itu, elok benar jika beliau "berdiam diri" dari terus berkata-kata demi jaga imej dan maruah beliau.

Benda yang tiada kaitan laju Mufti nak ulas, tapi isu Ratu Cantik Mak Nyah
yang pernah kami bongkar dulu, hingga kini Mufti masih diam membisu



Pinjaman PTPTN dikenakan bunga atau dalam istilah Islamnya disebut 'riba'
sama-sama kita tunggu kenyataan dari Mufti Pahang selepas ini hendaknya


[Mufti Pahang sehingga kini masih lagi belum keluarkan fatwa berhubung pertandingan Ratu Cantik Mak Nyah "Miss Malaysia Pahang 2010" yang diadakan di Hotel Vistana Kuantan dulu. Persoalannya, kenapa beliau tergamak mengeluarkan kenyataan yang tidak merujuk kepada pihak-pihak yang lebih arif sedangkan beliau lebih tahu hukumnya. Jika peminjam PTPTN itu dikatakan haram kerana gagal membayar pinjaman mereka. Maka Mufti Pahang juga perlu berani mengeluarkan fatwa apakah hukumnya UMNO BN menggunakan wang untuk merahsuah pengundi setiap kali musim pilihanraya terutamanya di negeri Pahang ini. Apakah Mufti "ada berani"?. Mufti Pahang sebenarnya tidak mempunyai kreadibili untuk menegur sesuatu berkaitan dengan Islam kerana maksiat yang berlaku di negeri Pahang sepatutnya beliau jaga masih belum sempurna. Oleh itu, usahlah mendabik dada untuk mencari publisiti murahan dengan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan. Sedangkan riba yang dikutip oleh PTPTN itu dipandang "halal" pula oleh beliau agaknya. Insaflah Mufti!].

Khamis, 5 April 2012

PSC indah kabar dari rupa


Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 3hb April 2012: 
Debat Parlimen tentang laporan Jawatankuasa Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihanraya – sebuah episod yang amat memalukan dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah Parlimen Malaysia selama tempoh 55 tahun
Apa yang telah berlaku pada hari ini merupakan sebuah episod yang amat memalukan dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah Parlimen Malaysia selama tempoh 55 tahun.
Ianya bermula dari kesilapan yang telah dilakukan oleh Tuan Speaker Tan Sri Pandikar Amin apabila beliau menolak pindaan kepada usul yang telah dibentangkan oleh tiga orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) dalam Jawatankuasa Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihanraya, Loke Siew Fook (Rasah), Mohamad Azmin (Gombak) dan Dr. Mohd Hatta (Kuala Krai) untuk memuatkan satu penyata minoriti ke dalam laporan terakhir Jawatankuasa Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihanraya (JKPPP) yang telah dibentangkan semalam.
Selepas Pengerusi JKPPP, Datuk Maximus Ongkili membentangkan usul laporan JKPPP selepas tempoh pertanyaan, Loke telah bangkit untuk membantah penolakan Tuan Speaker berkenaan dengan pindaan kepada usul yang dibawa oleh tiga Ahli Parlimen PR dalam kamar Tuan Speaker.
Pandikar telah memetik preseden Parlimen dari negara New Zealand dan United Kingdom dan telah mengatakan bahawa tidak ada apa-apa yang berunsur “minority report” atau penyata minoriti dalam preseden-preseden tersebut.
Apabila Pandikar memberi laluan untuk preseden-preseden dipetik dan diulas, Ahli-ahli Parlimen PR menyatakan bahawa Tuan Speaker telah diberi maklumat yang salah apabila menyatakan bahawa penyata minoriti tidak wujud dalam Parlimen Komanwel. Pandikar enggan meninjau keputusan yang telah dibuat itu walaupun ditegur.
Dewan Parlimen telah bersidang hampir 1 jam sebelum penangguhan untuk makan tengahari diumumkan. Ini berikutan keengganan Tuan Speaker untuk membenarkan pembentangan pindaan usul JKPPP untuk memuatkan penyata minoriti ini yang menitikberatkan isu paling asas iaitu senarai daftar pemilih yang bersih dan komprehensif. Isu ini terus berdominasi di Parlimen apabila sidang bersambung semula selepas makan tengahari dengan Timbalan Speaker Datuk Robert Kiandee menpengerusikan dewan.
Sejurus selepas perdebatan pendapat, Pandikar telah masuk dengan mengejut ke dalam dewan Parlimen dan telah mengambil alih dari Robert Kiandee dan terus menggantung 3 Ahli Parlimen PR iaitu Azmin (Gombak), R. Sivarasa (Subang) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) diatas sebab mempertikaikan keputusan Tuan Speaker.
Tindakan ini telah menghuru-harakan dewan dan kelihatan kesemua Ahli Parlimen PR berdiri di tempat masing-masing untuk membantah apa yang telah berlaku. Keadaan menjadi kacau bilau dengan Ahli-ahli Parlimen PR dan Barisan Nasional termasuklah Tuan Speaker sendiri menjerit terpekik terlolong supaya kedengaran.
Pandikar jelas tidak dapat mengawal keadaan dalam dewan dan dengan tergesa-gesa membawa usul Maximus untuk diundi tanpa debat dan dikatakan telah dipersetujui dengan keadaan kebanyakan dari Ahli-ahli Parlimen kabur tentang apa yang sedang berlaku pada masa itu. Dewan ditanggguhkan dengan segera selepas itu.
Ini merupakan satu hari yang amat menyedihkan dan pahit apabila ramai di antara Ahli-ahli Parlimen telah lama menunggu masa untuk berdebat tentang laporan JKPPP menjelang pilihanraya umum yang akan datang.
Ahli-ahli Parlimen daripada ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS telah bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam perdebatan penuh tentang laporan JKPPP, terutama sekali tentang kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya untuk memastikan senarai daftar pemilih bersih dan komprehensif – satu prasyarat wajib untuk pengendalian proses pilihanraya secara bersih, bebas dan adil menjelang Pilihanraya Umum Ke-13.
Namun, hanya satu sahaja daripada 8 tuntutan Bersih 2.0 untuk proses pilihanraya yang bersih, bebas dan adil akan diimplementasikan – iaitu penggunaan dakwat kekal.
Walaupun terdapat 10 cadangan dalam laporan interim Jawatankuasa Pilihan Khas, hanya dua sahaja yang telah diterima sepenuhnya manakala bagi cadangan yang lain, sebahagian sahaja yang diterima dan cadangan yang lain telah ditolak sama sekali seperti penolakan cadangan dalam laporan interim Jawatankuasa Pilihan Khas untuk pengesahan semula senarai daftar pemilih di negeri Sabah dan penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan DiRaja untuk melihat masalah-masalah serius dimana pendatang tanpa izin diberi hak mengundi di Sabah.
Dengan keadaan sebegini, dapatkah rakyat Malaysia menyaksikan Pilihanraya Umum Ke-13 sebagai pihanraya yang bersih, bebas dan adil selaras dengan pernyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa negara Malaysia mempunyai sistem demokrasi yang terbaik di dunia?

*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor